Konsert Billy Eilish punya pasal ada yang sanggup beratur dari 8 pagi, tapi ini pula komen warganet

Ribuan peminat Billie Eilish sudah mula beratur di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini seawal jam 10 pagi menantikan konsert Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022 yang bakal berlangsung malam ini. Demi Eilish, mereka sanggup beratur dan berpanas semata-mata untuk mendapatkan tempat terbaik bagi menonton konsert yang bermula jam 8.30 malam ini. Bintang pop berusia 20 tahun itu tiba Malaysia kelmarin. Fotonya berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama pasukan termasuk abangnya, Finneas turut tular di media sosial. Semalam, beberapa video dia bersiar-siar di pusat beli-belah Plaza Sungai Wang turut bertebaran di media sosial. Dia kelihatan bersahaja dan santai serta menyapa peminat yang merakam videonya. Ternyata kehadirannya pertama kali ke sini memang ditunggu ramai sejak mencetuskan fenomena beberapa tahun lalu. Terdahulu, penganjur Live Nation Malaysia mengumumkan pemenang Anugerah Grammy itu bakal mengadakan konsert sulung di Malaysia pada 18 Ogos.

INI KOMEN NETIZEN TENTANG YANG DATANG AWAL

Di dalam komen Facebook, rata rata tidak kenal siapa Billie Eilish ini dan ada komen yang meluahkan rasa pelik kenapa sanggup menunggu lama untuk konsert sedangkan seat telah dibeli. Sejak mencipta nama pada sekitar 2015, Eilish yang mempertaruhkan genre muzik elektro pop indie terus mencipta fenomena. Malah, albumnya juga meraih kejayaan luar biasa. Paling membanggakan apabila dia menang besar di Anugerah Grammy 2020 dengan membolot empat trofi utama iaitu Rakaman Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik dan Artis Baru Terbaik. Selain Malaysia, penyanyi lagu Bad Guy itu akan turut singgah di beberapa negara jiran sepanjang Ogos ini termasuk Filipina, Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Singapura. Sumber, HMETRO ONLINE