Mari hidup serumah dahulu, Zarina Zainuddin sebak sampai ada yang kata ianya sekadar konten

Umum kita kenali dengan pelakon ini. Pelakon Zarina Zainuddin mencabar pihak yang hanya tahu mengecam video berkaitan anak autismenya supaya merasai sendiri pengalaman menjaga golongan istimewa itu. Katanya, individu tiada sivik sebegini hanya sesuka hati melemparkan pelbagai tuduhan, sedangkan perkongsian yang dimuatnaik dalam media sosial adalah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat. “Saya pernah ‘shooting’ di Jengka, Pahang. Saya tak tahu ada anak autisme di rumah itu sampai saya naik ke tingkat atas. Dia digari sebab si ibu takut anak dia keluar. Emak kanak-kanak istimewa itu tak tahu cara tersebut salah.

Katanya lagi “Ada satu lagi pengalaman di dalam sebuah kedai, seorang wanita mengherdik anak saya dengan perkataan bodoh kerana terlanggarnya. Walaupun sudah dijelaskan anak saya autisme, dia tetap marah-marah. “Hakikatnya ramai masih tak faham mengenai autisme. Mereka ingat anak syurga ini nakal atau terencat akal. Ada juga layan mereka seperti sakit m3ntal. Saya kongsi video supaya orang luar faham, tetapi saya dicerca. “Kalau kamu ada anak autisme, kamu tahu macam mana cabarannya. Saya hari-hari menangis, orang tak tahu. Mari duduk rumah saya sekejap, jangan cakap banyak,” katanya kepada Kosmo! Online.

Zarina ditemui pada majlis pelancaran Havoc Midnight Concert anjuran Havoc Event & Management Sdn. Bhd. (HAVOC) yang dijadualkan bermula di Shah Alam, Selangor pada 3 dan 4 September ini. Baru-baru ini, aktres berusia 51 tahun itu dituduh menggunakan dua anaknya, Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan (Azal) dan Muhammad Razil Azrai Abu Raihan (Azil) sebagai modal meraih tontonan Instagram. Malah Zarina juga dikritik mempermainkan hati anaknya selepas memuat naik sebuah video menunjukkan aksi Azal, 26, ‘melamar’ pelakon Neera Azizi.

Katanya lagi, hanya 10 peratus pelakuan atau telatah permata hatinya itu yang didedahkan kepada umum dalam Instagram, bukan seperti disangkakan sesetengah pihak. “Orang hanya pandai berkata-kata, tetapi saya yang hidup hari-hari dengan anak autisme ini. Bukan setiap masa pun saya rakam, cuma momen tertentu yang saya paparkan. “Banyak lagi episod tantrum yang tidak saya kongsi. Kiranya apa yang saya paparkan dalam sosial media cuma sikit supaya untuk dedahkan situasi dan cara mengawal keadaan. “Memang tujuan saya sekadar ingin berkongsi kepada ibu bapa lain yang ada anak autisme supaya terus bertahan. Kita perlu faham anak-anak ini juga punya hati, perasaan dan keinginan seperti kita.

Selanjutnya kata Zarina “Tak sangka ada pula fikir saya tunjuk semua itu sekadar untuk ‘content’? Semua pelakuan itu bukan dibuat-buat, itu keadaan sebenar yang dilalui anak istimewa ini dan ibu bapa mereka,” katanya. Air mata ibu kepada empat cahaya mata itu nyata tidak dapat ditahan mengenangkan tohmahan yang berterusan dilemparkan terhadapnya dan anak-anak. Luahnya lagi, dia akan padam dan sekat akaun individu andai menerima komen melampau atau sengaja mahu mencetuskan pergaduhan dalam kalangan pengikutnya. Sumber, KOSMO! ONLINE