PELAKON Rafidah Ibrahim diperintahkan membayar ganti rugi RM281,200 kepada ahli perniagaan, Datuk Haris Embong dan syarikatnya dalam tempoh tujuh hari. Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Julai tahun lalu yang meminta Rafidah membayar ganti rugi itu selepas ahli perniagaan terbabit berjaya dalam kes saman fitnah terhadapnya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan firma guaman yang mewakili Haris, pihak mereka telah menghantar notis kepada peguam Rafidah pada 19 September lalu bagi menuntut bayaran tersebut dijelaskan dalam tempoh ditetapkan. “Kami diarahkan supaya anak guam anda membuat bayaran dalam masa tujuh hari. Jika gagal, tindakan lanjut akan diambil,” katanya.
Haris, 48 dan syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn Bhd, yang menjalankan perniagaan produk sejuk beku, ‘Aris Burger’ selaku plaintif menyaman Rafidah, 39, yang dinamakan sebagai defendan tunggal, selepas didakwa enggan membayar hasil kerja selebriti itu, empat tahun lalu. Notis pertama dihantar oleh firma guaman mewakili Haris, Izral Partnership, kepada firma guaman bagi pihak Rafidah di Shah Alam pada 20 Ogos tahun lalu bagi menuntut pembayaran berkenaan seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi.
Notis kedua pula dihantar kepada firma guaman baharu di Gombak yang mewakili Rafidah pada 19 September lalu, yang menyatakan ia mengambil maklum bahawa surat bertarikh 20 Ogos tahun lalu kepada firma guaman mewakili defendan tidak mendapat sebarang maklum balas. Sehubungan itu, firma guaman plaintif itu berkata, pihaknya diarahkan oleh anak guam untuk menuntut bayaran penuh sebanyak RM281,200 iaitu jumlah keseluruhan ganti rugi dan kos mengikut penghakiman Mahkamah Tinggi.
Jumlah yang dituntut merangkumi RM100,000 kepada Haris secara peribadi, RM150,000 kepada syarikat Arisprop Holdings, RM30,000 bagi kos perbicaraan dan yuran peruntukan RM1,200. Sementara itu, Haris dalam satu kenyataan berkata dia sudah memberi masa secukupnya buat Rafidah untuk menyelesaikan perkara ini secara baik, namun tiada sebarang tindakan diambil.
“Ini bukan soal duit semata-mata. Ini perjuangan untuk membersihkan nama saya dan syarikat. Kita semua berhak menuntut keadilan,” ujarnya. Untuk rekod, isu ini berpunca daripada satu hantaran media sosial oleh Rafidah yang mendakwa syarikat milik Haris enggan membayar hasil kerjanya selepas dia diberhentikan pada Ogos 2021.
Dalam keputusan pada 31 Julai tahun lalu, Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan Lee memutuskan kenyataan Rafidah berbentuk fitnah dan menjejaskan imej Haris sebagai usahawan serta syarikatnya. Mahkamah turut menolak tuntutan balas Rafidah yang mendakwa syarikat tersebut masih berhutang gaji RM4,000 dan kos kemudahan RM3,550 seperti dinyatakan dalam kontrak asal.
Selain bayaran ganti rugi, mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi yang menghalang Rafidah daripada mengulangi sebarang kenyataan fitnah terhadap Haris atau syarikatnya. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.