Tanpa kita ketahui kelas mengaji al-Quran semakin mendapat permintaan tinggi. Pandemik banyak mengubah kaedah pembelajaran pelajar sekolah termasuk pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian. Seiring dengan masa, pembelajaran secara dalam talian sudah mula diterima baik apatah lagi pelajar-pelajar berasa selesa selain dapat melindungi diri mereka daripada ancaman wabak. Bagi pengasas Pusat Pembelajaran Pendidikan Islam Hatimurni, Siti Khadijah Mohni, belajar secara online bukan alasan untuk tidak berjaya sebaliknya sistem, guru dan ibu bapa perlu bergerak seiring dalam memastikan pendidikan terbaik dapat diberikan kepada pelajar. Meskipun negara sudah memasuki fasa endemik dan sekolah sudah mula dibuka semula secara bersemuka, tetapi kata Siti Khadijah pihaknya masih banyak menerima permohonan untuk pembelajaran secara atas talian.
Siti Khadijah menerima banyak permohonan belajar secara atas talian.
Katanya “Sebenarnya masih ramai ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak-anak mereka secara bersemuka. Mereka memilih pembelajaran secara online kerana pentingkan faktor kesihatan dan keselamatan anak-anak mereka,” katanya kepada mStar. Siti Khadijah berkata, selain bimbang tentang keselamatan dan kesihatan, ibu bapa juga semakin yakin dengan pembelaaran secara online apatah lagi apabila melihat keputusan memberangsangkan. Sebagai contoh kata Siti Khadijah, pelajar tahun satu yang hanya belajar mengenal huruf dalam kelas online kini sudah boleh membaca al-Quran seusai sekolah kembali dibuka. “Saya lihat peningkatan itu sangat membanggakan dan keberkesanan kelas secara dalam talian. Apa paling penting adalah sokongan ibu bapa, guru dalam memastikan pelajar mendapat ilmu dengan baik,” ujarnya.
Bersama pelajar pada Hari Anugerah Pelajar Cemerlang Hatimurni 2021.
Sementara itu Siti Khadijah berkata, pembelajaran agama dan al-Quran secara online antara paling mendapat sambutan di Sekolah Islam Hatimurni apabila semakin ramai ibu bapa peka terhadap kepentingannya kepada anak-anak. Menjadi harapannya juga untuk membantu lebih ramai pelajar mempelajari agama dan al-Quran termasuk secara bersemuka. “Online atau bersemuka, paling penting apa yang saya lihat, terdapat peningkatan ketara terhadap bilangan pelajar yang mendaftar untuk kelas agama dan al-Quran. “Pada saya perkara ini sangat baik kerana ramai menunjukkan minat mendalami ilmu agama dan mempertingkatkan prestasi pelajaran,” jelasnya. Atas dasar itu, beliau mensasarkan 20,000 pelajar Hatimurni secara online pada tahun 2022 dan usaha sedang dipergiatkan bagi mencapai sasaran tersebut sekali gus membantu ibu bapa memartabatkan agama kepada anak mereka. Sumber, mstar