Penyanyi popular, Datuk Jamal Abdillah menyatakan dia tidak kisah untuk menerima pelawaan berduet dengan usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri. Jamal berkata, sesiapa yang berhasrat berpadu suara dengannya harus menyanyi dengan sepenuh hati selain tidak sumbang dan ia asalkan merupakan syarat yang ditentukannya. “Jika ditawarkan untuk berduet dengannya, saya anggap ia penghormatan dan kita pun dapat mengikuti trend serta kekal relevan untuk bersama-sama berada di persada. “Cuma, syarat utama saya, dia kena menyanyi betul-betul dan tidak sumbang kerana kita akan sakit telinga dan orang pun tidak menyalahkan saya,” jelasnya. Jamal berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran produk kosmetik Zarania Beauty di ibu negara, petang tadi.
Jamal berkata, dia melihat apa yang dilakukan oleh kebanyakan usahawan seperti Aliff Syukri adalah lebih kepada mempromosi perniagaan. “Semua pun tahu dia (Aliff) bukan penyanyi, namun saya melihat dia berkarya sebagai sebahagian daripada promosi bisnes. “Kalau ditakdirkan kami berduet, dia tak perlu belajar dengan guru vokal. Cuma saya akan turunkan ‘key’ suara biar seimbang dengan usahawan berkenaan,” katanya. Sebelum ini, usahawan berkenaan ada mendedahkan dia berkeinginan untuk berduet dengan beberapa penyanyi popular seperti Jamal serta Anuar Zain, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Awie. Bagaimanapun, Jamal mengatakan sehingga kini usahawan tersebut masih belum menghubunginya untuk membincangkan perkara itu. “Saya ada dengar mengenai hasratnya itu tetapi tidak tahu sejauh mana keseriusannya. Sampai sekarang pihak sana masih belum mengusulkan apa-apa,” katanya. Baru-baru ini, Aliff mendakwa dirinya penyanyi nombor satu Malaysia kerana lagu-lagunya sentiasa trending setiap kali dimuat naik di YouTube. Sumber, KopiPlanet.com